Wednesday, 28 August 2019

                     

                   
Ciri-ciri Budi Bahasa
Slogan " Berbudi Bahasa, Amalan Kita" sebenarnya mangajak seluruh rakyat di negara ini untuk bersama-sama pihak kerajaan bagi megamalkan nilai berbudi bahasa kerana banyak kebaikan yang tersirat di sebalik kata-kata tersebut. Oleh itu, bagaimanakah kita dapat mengenali seseorang yang berbudi bahasa?
     
          Terdapat enam ciri yang dimiliki oleh orang yang berbudi bahasa, iaitu bertimbang rasa, toleransi, bertolak ansur, ramah mesra, tidak mementingkan diri sendiri dan bersopan santun ( Farida Nazir et al., 2015). 

1. Timbang rasa


P. McPhail dan D. L. Miller (1973) berpendapat bahawa timbang rasa perlu dimiliki oleh setiap individu. Sikap bertimbang rasa ini dapat memberikan peluang kepada setiap individu untuk bergaul mesra dalam kalangan rakan daripada pelbagai kaum, agama, baangsa dan sosioekonomi. Bagi saya, sifat bertimbang rasa perlulah menguasai hidup kita dengan sesiapa saja yang kita berurusan. Sebagai seorang anak, kita perlu menghormati ibu bapa supaya hati mereka tidak terluka disebabkan perbuatan kita terhadap mereka. Sebagai seorang rakyat, kita mestilah menjaga tatasusila diri supaya imej negara tidak akan terjejas.

2. Toleransi 


 Menurut Mardzelah Makhsin (2007), nilai toleransi perlu diamalkan oleh setiap individu untuk menjamin persefahaman, perasaan hormat-menghormati hak dan kebebasan kaum di negara ini. Pada pandangan saya, nilai toleransi boleh diwujudkan dalam kalangan masyarakat Malaysia melalui aktiviti gotong-royong atau mengadakan lawatan ke tempat kebajikan. Di samping itu, rakyat Malaysia juga perlu menghormati hak seseorang tersebut seperti tidak memaksa orang lain mengikut adat resam agama lain. Hal ini demikian kerana setiap orang mempunyai hak sendiri untuk memilih agama sendiri. 

3. Tolak Ansur

Dalam konteks Islam, amalan bertolak ansur merupakan prinsip utama yang diguna pakai untuk mendukung hak kemanusiaan. Sebagai contoh, menerusi prinsip jus soli dalam Sejarah Malaysia, dikatakan kira-kira 980,000 orang bukan Melayu diberikan kerakyatan percuma oleh kerajaan Malaya. Sebagai balasannya, mereka menerima bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara ini serta menyetujui Islam dijadikan agama rasmi negara. Hal ini telah membuktikan bahawa Melayu adalah kaum yang bertolak ansur di dunia.

4. Sopan Santun

Merujuk Khairuddin Mohamad et al. (2012), ciri berbudi bahasa dapat dilihat melalui sikap bersopan santun semasa bercakap. Sikap ini menunjukkan sikap menghormati orang lain di samping sifat mesra. Contohnya, dalam kalangan kaum Melayu, mereka akan menundukkan kepala sebagai tanda menghormati dan memberi salam kepada ahli keluarga sebelum keluar dan selepas balik.

5. Ramah Mesra


Ramah mesra dari segi bahasa bermaksud seseorang yang bersedia untuk bergaul mesra dengan semua orang. Dengan megamalkan ciri budi bahasa ini, semangat perpaduan antara kaum dapat diwujudkan. Sebagai contoh, kaum India akan mengantungkan kalungan bunga ke leher tetamu sebagai tanda mengalu-alukan kedatangan tetamu tanpa mengira agama, bangsa dan darjat. 

6. Tidak mementingkan diri sendiri




Pada pendapat saya, budi bahasa ini bermaksud mempedulikan perasaan dan kepentingan orang lain. Orang yang tidak mementingkan diri sendiri biasanya akan berkongsi apa-apa perkara dan akan menjaga perasaan orang lain. Contohnya, memberikan peluang kepada orang lain mengeluarkan pendapat dan mengemukakan pendapat sendiri dengan bahasa yang sopan tanpa memaksa orang lain untuk menerima pendapat sendiri. 

Akhir sekali, marilah kita lihat video di bawah ini. Lepas itu, sama-sama kita amalkan ciri budi bahasa dalam hidup kita!



Sumber Rujukan:
Faridah Nazir, Ratna Laila Shahidan dan Faiziah Shamsudin. (2015). Kesantunan Masyarakat Malaysia. Petaling Jaya: Sasbadi Sdn. Bhd. 
Khairuddin Mohamad, Maridah Alias dan Faiziah Hj. Shamsudin (2012). Bahasa Melayu Komunikatif. Puchong, Selangor: Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd.
Makhsin. (2007). Sains Pemikiran & Etika. Kuala Lumpur: PTS Professional Publishing Sdn. Bhd.
P, Miller, D. L. (1973). The Assembling Process: A Theoreticaland Emprirical Investigation. Am. Sociol. Rev. 38: 721-35.


                                 


                                          Ciri-ciri Budi Bahasa Slogan " Berbudi Bahasa, Amalan Kita" sebenarnya mangajak sel...